PARIS: Perancis mempertahankan pendirian menyokong status quo Taiwan.

Presidennya, Emmanuel Macron ulangi pendirian itu, selepas komennya sebelum ini mendapat kecaman Amerika Syarikat (AS) dan blok Eropah.

Macron dalam temuramah dengan media tempatan sebelum ini mendakwa bimbang terlibat dengan krisis Taiwan susulan sikap AS yang dikatakan keterlaluan.

Kenyataan ini dianggap menyebelahi Beijing.

"Pendirian Perancis dan blok Eropah mengenai Taiwan adalah kekal. Kami menyokong status quo negara itu dan polisi ini tidak pernah berubah. Ini melibatkan polisi 'One China' dan usaha untuk mencari penyelesaian aman bagi isu tersebut.

"Saya akan nyatakan perkara ini jika bertemu Presiden secara peribadi. Pendirian ini kami ulangi beberapa kali, ia tidak akan berubah," katanya.

Macron juga memaklumkan kapal tentera Perancis berada di Selat Taiwan beberapa hari lalu, di sebalik latihan ketenteraan China di kawasan pulau berkenaan.

Ia memberi bayangan berhubung komitmen Perancis untuk menggalakkan rundingan berkaitan konflik Taiwan-China.